Click here to budakstudio »

Sunday, December 14, 2008

Kemanakah menghilang...


Sejauh manakah cita-cita anda? Ingin menjadi seorang doktor, ahli perniagaan berjaya, jurutera atau mungkin perdana menteri? Semua kerjaya tersebut mempunyai kemahiran, perolehan dan kedudukan yang berbeza, tetapi semuanya dipandang tinggi di mata masyarakat. Sejauh manakah cita-cita aku? Hmmm... aku sendiri tidak pasti. Yang sebenarnya, cita-cita bukanlah keutamaan buat aku untuk waktu sekarang. Aku jarang memikirkan tentang masa depan, tentang apa yang aku ingin buat apabila menamatkan pengajian atau kehidupan yang bagaimana aku ingin pilih apabila terpaksa berdikari suatu hari nanti. Sebenarnya... dahulu, aku bukan seperti sekarang.
Sewaktu aku kecil dan hati masih seperti buku yang baru, aku suka memegang sebatang pensil dan melukis di atas segala jenis kertas. Ketika itu, aku tidak tahu apa yang aku lukis dan mengapa aku suka melakukannya. Sehingga munculnya hobi popular di kalangan kanak-kanak ketika itu iaitu membaca buku komik berasal dari Hong Kong yang diterjemahkan ke Bahasa Melayu. Ketika itu, aku sedar minatku untuk melukis semakin bertambah.
Daripada ilustrasi buku komik itulah, aku mendapat ilham untuk melukis dan setiap lukisan itu tidak lagi hanya lukisan kosong. Sebaliknya, ianya terhasil daripada imaginasi aku dan aku sedar ianya tiada bersempadan. Aku dapat rasakan aku mampu mengolah segalanya mengikut apa yang aku mahu, dan aku akan luahkannya di dalam lukisan. Aku mengaku lukisan aku tidaklah secantik hasil lukisan buku komik Hong Kong itu, tetapi cukuplah sekiranya aku sendiri puas hati.
Kemudian, suatu hari guru aku bertanyakan tentang cita-cita dan setiap orang harus memberitahu apakah yang ingin mereka ini jadi apabila dewasa kelak. Ketika itu aku sendiri tidak pasti, apakah cita-cita yang dimaksudkan oleh guru itu. Adakah cukup syarat cita-cita itu sekiranya aku hanya ingin menjadi seorang pelukis komik...
Tidak lama kemudian baru aku sedar, cita-cita bukanlah berdasarkan pada apa yang kita minat semata-mata, tetapi juga mampu menanggung kehidupan kita pada masa hadapan. Itulah cita-cita. Mengubah diri manusia daripada buruk kepada baik, dan daripada baik kepada lebih baik. Setelah itu, hanya satu cita-cita sahaja yang aku bermain dalam fikiran aku... iaitu ingin menjadi seorang arkitek.
Hmmm... ya, pelukis komik juga mampu membuat duit, tetapi ketika itu aku sedar aku ingin lebih daripada itu. Aku inginkan kerjaya professional yang tidak hanya membuat duit, tetapi mempunyai teknikal dan kemahiran yang tidak datang pada bakat semata, tetapi melalui pembelajaran. Dan arkitek bukan sahaja memenuhi ciri-ciri itu, malah kerjaya itu mempunyai tradisinya yang tersendiri. Ketika itulah, minat aku daripada lukisan komik beralih pula kepada lukisan berbentuk isometrik dan bergeometri seperti bangunan, kereta dan sebagainya.
Aku mulai sedar, lukisan tidak hanya boleh diluahkan dalam bentuk komik, tetapi juga dalam ruang yang lebih besar daripada kotak-kotak itu.
Selepas meningkat usia remaja, cita-cita tidak lagi menjadi persoalan di kalangan guru-guru. Ketika ini, tugas guru-guru hanya memastikan kita mengikut arah yang betul untuk menjadi warganegara yang berguna. Aku tidak lagi mendengar kata-kata semangat tentang cita-cita. Sebaliknya kata guru, kehidupan sekarang lebih daripada menjadi seorang doktor atau jurutera. Kita tidak harus bersedih sekiranya tak dapat mencapai cita-cita itu kerana peluang pekerjaan semakin pelbagai dan mungkin terdapat jalan lain yang sesuai dengan kita. Ketika itulah, tangan aku semakin banyak digunakan untuk menulis nota-nota dan kerja rumah, dan semakin jarang digunakan untuk melukis. Aku semakin melupakannya secara perlahan-lahan, lupakan kertas lukisan dan cita-cita aku sewaktu kecil. Sehinggalah tanpa aku sedari, tangan aku sudah tidak melukis lagi. Tidak untuk waktu yang cukup lama...
Sejauh manakah cita-cita anda? Ingin menjadi seorang doktor, ahli perniagaan berjaya, jurutera atau mungkin perdana menteri? Namun, cita-cita aku tidak sejauh itu, mungkin aku harus berhenti disini.

Tuesday, December 2, 2008

Ayam


Langit terang buat pertama kalinya sejak aku pulang ke kampung. Ayam-ayam dah tak melepak kat depan rumah aku, yang sejak hujan turun haiwan-haiwan tersebut selalu melepaskan sisa buangannya di tangga. Menjadi tugasan aku untuk membersihkan najis tersebut, tetapi aku tidak merungut. Mungkin menjadi sifat aku untuk merungut dalam beberapa perkara, tetapi dalam situasi ini aku boleh bersabar.
Ini kerana aku sedang kebosanan di rumah, dan melakukan perkara-perkara sedemikian akan sedikit-sebanyak memberikan senaman secara tidak langsung.
Mood aku baik hari ini, kerana komputer aku telah berjaya diformat semula dan kembali cergas seperti dahulu setelah pelbagai virus, spyware, rootkit dan pelbagai ancaman kepada komputer berjaya dilupuskan. Apa yang penting, walaupun internet masih lembap kerana line broadband di kawasan kampung agak lemah, tetapi aku masih mampu untuk melayari internet dan berhubung dengan dunia luar.

Langit terang buat pertama kalinya sejak aku pulang, tetapi fikiran aku tidak seterang langit. Mungkin aku harus berhenti disini.

Monday, December 1, 2008

"Aku sudah datang!" - kata hujan

Di saat jari aku diletakkan di atas keyboard ini, jam menunjukkan tepat pukul 10.45 pagi. Suasana di dalam bilik ini gelap dan tertutup, tetapi masih sejuk disebabkan hujan yang berterusan selama beberapa hari ini. Hujan... Ya, nampaknya angin monsun timur laut sudah datang seperti yang telah dijadualkan sejak berzaman. Rutin tahunannya tidak pernah dilupakan, walaupun terdapat gangguan alam seperti kepanasan global yang berlaku sejak beberapa dekad ini.
Tetapi di waktu pagi yang gelap ini, bukanlah berkenaan angin monsun atau hujan yang aku ingin ceritakan. Ya, bercerita tentang angin monsun mungkin menarik, tetapi bukanlah menjadi kepakaran aku untuk bercakap mengenai fenomena alam itu. Aku tidak mempunyai pengetahuan sains yang kuat, apatah lagi untuk menerangkan secara teliti berkenaan ekologi. Oleh yang demikian, lebih baik aku bercakap sahaja mengenai apa yang terjadi dalam keadaan sekeliling aku, yang aku mampu ceritakan tanpa sebarang fakta sains. Baiklah... ketika aku penuh kusyuk mengadap monitor komputer ini, pelbagai buah fikiran telah muncul di kepala aku, dan tidak ada satu pun diantaranya yang boleh aku gunakan untuk kebaikan dunia yang kita tinggal ini. Nampaknya waktu pagi bukanlah waktu yang sesuai untuk aku menggali idea, apatah lagi mencari penyelesaian masalah-masalah. Fikiran aku lebih dipenuhi dengan memori yang tidak berapa penting berkenaan apa yang aku telah lihat di televisyen iaitu filem-filem Inggeris dan bahan bacaan ringan seperti Arena Bolasepak dan juga Ujang. Mungkin ianya tidak memberikan sumber ilmiah secara langsung, tetapi sekurang-kurangnya dapat memberikan sedikit hiburan kepada aku, daripada tidak berbuat apa-apa langsung. Waktu begini tidak banyak aktiviti luar yang dapat dilakukan. Hendak berjalan ke rumah sebelah pun kena berfikir panjang kerana terpaksa mengharungi banjir kecil. Ya, itu mungkin satu alasan, dan tidak elok memberikan alasan. Tetapi alasan itu sahaja yang aku ada untuk menerangkan keadaan sebenar disini.

Nampaknya hujan tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda ianya akan berhenti. Sejuk dan suram, suasana begini memang sesuai mencari idea. Bunyi titisan air hujan yang jatuh dari tepian bumbung, nyata memberikan ketenangan. Ketenangan yang mencetuskan memori-memori silam ketika usia kanak-kanak, remaja dan waktu meningkat dewasa. Suasana ini hanya dapatku rasakan pada hujung tahun, ketika hujan angin monsun datang melabuhkan awan gelapnya. Hujan, tak menunjukkan tanda-tanda ianya akan berhenti, tetapi aku tidak mampu mengikut perangai hujan. Mungkin aku harus berhenti di sini.

Thursday, November 27, 2008

Hidup baru bermula, kemudian...


Semasa kau kecil dan hatimu seperti buku catatan yang baru dibuka, kau selalu tulis "hidup baru bermula dan kita akan terus hidup". Ketika itu kau percaya bahawa tiada yang mampu menghalang cita-citamu untuk terus berjaya. Tetapi sekiranya berlaku perubahan dalam dunia yang kita tinggal ini menyebabkan kau menangis dan berputus asa, tulislah "hidup baru bermula dan semuanya hanya untuk sementara". Ya, berjaya atau tidak bukan penentu pencapaian anda semasa hidup di dunia ini, tetapi kesungguhan yang ditunjukkan untuk mencapainya lebih diutamakan. Kerana setiap orang boleh berjaya sekiranya bernasib baik, tetapi orang yang bernasib baik tidak mampu bertahan lama tanpa usaha. Tetapi sekiranya usaha itu tidak membuahkan hasil, usahlah berputus asa. Anda boleh berbangga dengannya. Tiada seorang pun yang boleh mempertikaikannya.

Tuesday, November 25, 2008

Hati kecil



Hati yang kecil bukanlah bermakna semangatnya lemah. Setiap perbuatan yang mulia memerlukan pengorbanan jiwa yang besar. Untuk menyelamatkan dunia, tidak semestinya berjuang menghapuskan keganasan dunia, tetapi memberikan seekor anak kucing yang kelemahan sedikit air adalah salah satu penyelesaiannya. Usah memandang seseorang pada statusnya, walhal seorang yang kaya dengan harta benda tidak mampu menyelamatkan diri sekiranya tidak mempunyai bekal akhirat yang mencukupi. Usah terpedaya kepada keprihatinan seorang dermawan yang sering menyumbang wangnya kepada yang memerlukan, dalam masa yang sama dia mengharapkan pujian. Apa pun daya yang anda ada, pastikan ia cukup untuk anda berjuang mengharungi hidup. Kerana jiwa yang besar datangnya dari hati yang bersih. Hati yang bersih datangnya dari jiwa yang besar. Mana-mana ayatnya pun mempunyai maksud yang serupa. Usah berkecil hati...

Thursday, November 20, 2008

Aku dan wajah yang menyerupaiku


Aku mempunyai beberapa prinsip yang aku sentiasa pegang sepanjang aku menyusuri onak dan duri dalam kehidupan ini. Prinsip-prinsip ini sekiranya aku sendiri ingkar, maka bermakna telah berlaku perubahan dalam diri aku. Yang membuatkan aku gusar adalah kerana perubahan ini akan menyebabkan aku tidak lagi mengenali diri sendiri. Jika aku berdiri di hadapan cermin, aku dapat melihat wajah aku sendiri dan tidak berubah sedikitpun zahirnya, tetapi batinnya aku sendiri tidak kenal siapakah dia di dalam cermin itu. Aku sesungguhnya tidak ingin melanggar prinsip ini. Kalau boleh aku ingin pegangnya erat sehingga aku menghembuskan nafas terakhir. Tetapi sekiranya ianya berlaku juga tanpa disengajakan ataupun tidak, aku akan sedar bahawa aku hanya manusia biasa, tidak terlepas dari membuat sebarang kesalahan. Aku akan sedar bahawa aku ini tidak jauh bezanya dengan insan lain yang sering lalai dalam mengharungi kehidupan. Sekiranya ini tidak dapat dielakkan, satu-satunya perkara aku harapkan ialah keampunan daripada Yang Maha Esa.

Tuesday, November 18, 2008

Singa tidur malam ni...


Lepas bangun tidur, tengok tv... lepas tengok tv baring jap, lepas tu terlelap... kemudian tersedar balik, bukak tv balik... kemudian baring jap, eh! belum makan lagi... makan dulu. Lepas dah kenyang, tengok tv jap... Dah kul 12 tengahari la... mandi la dulu. Lepas mandi baring jap, kemudian terlelap... Inilah rutin harian sesetengah student yang sedang bercuti. Mungkin sebilangan besarnya...

Sunday, November 16, 2008

Milo dan biskut kering...


Apabila kita mencapai satu tahap kebosanan yang amat tinggi, kita akan melakukan perkara yang diluar dugaan kita. Sebagai contoh, apabila bosan aku akan menggoreng telur untuk dimakan dengan roti dan membuat air Milo untuk dicicah dengan biskut. Apapun benda yang anda lakukan, pastikan ianya tidak bertentangan dengan agama, akhlak dan nilai kesopanan. Kalau hendak makan pun, pastikan tahap kolestrol makanan itu sebelum bertindak memasukkannya ke dalam perut. Selain daripada itu, kita juga boleh menonton DVD yang dah lama dibeli tetapi tidak pernah berpeluang menontonnya kerana sentiasa sibuk dengan kerja dan juga pelajaran. Tetapi pastikan kita mempunyai waktu untuk beramal...

Friday, November 14, 2008

Khabar dari Timur (episod 4 - selamat tinggal sem 2)


Bila datangnya hari terakhir untuk pengajian semester ini, selepas menghadapi waktu-waktu sukar selama 5 bulan, perasaan yang bercampur-baur datang dengan tiba-tiba. Mungkin perasaan lega lebih tepat untuk menggambarkan keadaan sekarang, tetapi percayalah, beberapa hari kemudian perasaan gementar akan muncul kerana memikirkan keputusan yang bakal kita peroleh. Mungkin sekiranya anda seorang yang sentiasa komited dalam setiap tugasan dan ujian yang dilakukan, anda tidak perlu risau sangat kerana biasanya setiap usaha yang ikhlas mendatangkan hasil yang setimpal dengan usaha kita itu. Tapi bagi aku yang sentiasa hilang fokus dalam mencari idea, juga sering terlena apabila mengulangkaji pelajaran, memang layak untuk aku kecewa sekiranya tidak melepasi cabaran untuk semester ini. Mungkin tawakkal tidak mencukupi bagi aku andainya doa aku tidak mengimbangi dengan usaha yang aku keluarkan. Selepas memikirkan bagaimanakah keputusan untuk semester ini, datang pula perasaan lain yang mana bagi menghadapi cabaran untuk semester akan datang, pastinya akan memberikan kesukaran dan halangan yang lebih hebat. Bersedialah untuk menghadapi hari itu. Untuk semester ini, aku ucapkan selamat tinggal....

Saturday, November 8, 2008

Hari ini dan semalam... juga esok

Semalam, bukan hari ini. Hari ini pula bukan hari esok. Persamaan bagi ketiga-tiga hari itu ialah aku dalam keadaan keresahan. Bukan resah kerana duit tidak cukup. Juga bukan kerana motor dalam keadaan yang kurang memberansangkan. Tetapi yang meresahkan aku ialah kerana dalam dua tiga hari lagi aku akan membentangkan projek akhir. Aku masih mencari-cari susunan ayat untuk aku persembahkan dihadapan guru-guru dan rakan taulan. Dahlah hasil kerja aku kurang menarik dan tidak berada di tahap yang memuaskan, konsep yang aku pilih juga masih mengelirukan aku. Untuk tidak lebih mengelirukan aku, aku terpaksa berhenti menulis sekarang bagi memberi ruang kepada diri sendiri untuk rileks n' enjoy. Harap maaf kerana menggunakan bahasa campur.

Thursday, November 6, 2008

Itu kamera aku...




Setiap hari kita rakamkan kehidupan kita di dalam gambar. Setiap hari itu juga kita akan belajar sesuatu yang baru, samada baik atau buruk. Mendapat pengalaman yang baik itu amat bernilai, tetapi belajar dan insaf daripada melakukan perkara buruk itu mematangkan kita. 

Wednesday, November 5, 2008

Poem written by a kid in Africa



UN suggested it as the
best poem of 2006 ...

When I born, I black
When I grow up, I black
When I go in Sun, I black
When I scared, I black
When I sick, I black
And when I die, I still black
And you white fellow
When you born, you pink
When you grow up, you white
When you go in sun, you red
When you cold, you blue
When you scared, you yellow
When you sick, you green
And when you die, you gray
And you calling me colored?

Tuesday, November 4, 2008

Niagara Jatuh (episod 1) lanjutan...

...jarum mencucuk-cucuk dengan bertalu-talu. Kemudian, keluarga anda membawa anda ke hospital. Di sana, anda masih rasakan kesakitan tersebut. Tak lama kemudian, doktor datang memeriksa anda. Anda ditahan selama beberapa hari di hospital agar doktor dapat mengesan punca kesakitan itu. Ketika ini, hati anda sudah rasa berdebar-debar... Apa sebenarnya yang terjadi? Adakah aku sakit jantung? Tapi aku masih muda lagi... Ya Allah, apakah punca segala kesakitan di dada ini?

Sunday, November 2, 2008

Cengkerik di tepi gantang...


Cuba kita tulis sesuatu yang penting di atas kertas, kemudian kita lipatkan ia menjadi kapal terbang. Kemudian kapal terbang kertas itu dilontarkan ke langit supaya ia terbang bebas. Mungkin dalam 20 atau 30 saat kemudian, ia akan jatuh ke bumi. Dalam waktu itu, cuba perhatikan, kita akan dapati bahawa kapal terbang kertas itu terbang mengikut arah angin. Yang pasti, ia tidak ada hala tujunya sendiri, seperti yang berlaku kepada sesetengah orang. Tiada gunanya mempunyai ilmu yang cukup banyak, tetapi tidak tahu bagaimana hendak dipraktikkan. Seperti juga yang berlaku kepada diri penulis ini, tidak tahu apa yang hendak diluahkan, tetapi kerana ingin mengisi masa lapang, taip je lah...

Saturday, November 1, 2008

Khabar dari timur (episod 3)


Bukak saja mata, aku terlihat sesuatu yang berpusing di langit.. Pusingannya agak deras juga.. Owh! kipas siling rupanya. Mungkin ia pakai gear 4 atau 5 yang menyebabkan ia berputar agak deras. Angin yang kuat itu turut mendinginkan suasana bilik tersebut. Aduh... sudah jam berapa ini ya? Hah! Sudah pukul 10.30 pagi?! Hmmm... Ni lah akibatnya tidur lewat. Baju di dalam mesin basuh belum dijemur lagi.. Bilas air pun baru sekali. Takpelah... dan cukup kot. Jemur je lah kain tu... Karang tak sempat kering pulak. Isk! Esok ade test planting.. Adui! Pokok-pokok yang seratus lebih tu pun tak hafal-hafal lagi ni. Dahlah takde gambar pokok nak mengafal ni! Camne ni, kawan?!! Nampaknya terpaksalah aku bertawakkal sajelah... Boleh ke camtu?

Thursday, October 30, 2008

Nice....



Niagara Jatuh (episod 1)


Bayangkan keadaan ini...
Anda sedang menikmati sarapan pagi yang enak bersama-sama keluarga di suatu pagi yang nyaman di mana bayu bertiup dingin di sebelah timur. Ketika anda sedang seronok bergurau-senda dengan mereka, tiba-tiba dada anda berasa amat pedih, seperti ada jarum yang mencucuk berulang-kali. Ketika itu anda merasakan seperti... (bersambung kemudian, xde idea ni!)

Wednesday, October 29, 2008

Khabar dari timur (episod 2)


Segala penat dan lelah, mengantuk dan lapar telah pun berlalu. Akhirnya kedua-dua projek akhir untuk semester ini telah pun selesai dan lebih melegakan apabila ianya berjaya dihantar pada masanya. Namun ada sedikit kegusaran kerana ada beberapa perkara yang tidak lengkap pada board. Inilah akibatnya buat kerja last minute. Tapi tak mengapalah, perkara itu sudah berlalu. Kalau difikirkan seribu kali pun tidak mungkin akan merubah keadaan. Yang penting, sekarang aku sudah boleh tidur nyenyak. Eh, jap! Esok dah exam pulak! Emmm.. tak apelah, tidur la dulu... zzzzz....

Saturday, October 25, 2008

Pukul 4 pagi dalam studio...


Bagi sesetengah orang, bukan menjadi satu masalah untuk mendapatkan idea. Orang yang hebat, ideanya datang bagaikan air hujan yang mencurah-curah. Tidak cukup dengan itu, dia boleh pula menyumbangkan sedikit ideanya kepada orang lain. Seorang pelukis kartun yang profesional memerah otaknya setiap hari untuk mendapatkan idea yang terbaik. Mungkin semalam hasil ideanya kurang menarik, hari ini sangat mengagumkan, kemudian hari esok ideanya layu semula, mana-mana imaginasi yang datang ke pemikirannya adalah penyumbang kepada kehebatan minda yang dimiliki. Orang sebegini tidak seperti orang kebanyakan, dia mampu mencipta satu fantasi dalam pemikirannya tidak kira setelah berlaku satu-satu kejadian atau ia datang secara tiba-tiba. Apabila sampai ke satu tahap yang tinggi, dia mampu menciptakan idea itu mengikut kemahuannya sendiri. Ya benar, sesungguhnya segala idea yang muncul di setiap genap pemikiran yang hebat itu adalah keistimewaan dan anugerah bernilai yang diberikan oleh Allah kepada sesetengah orang. Seperti juga penulis novel atau pengukir kayu, masing-masing menyumbangkan hasil ideanya melalui kemahiran masing-masing, tidak kiralah untuk tatapan sendiri atau semua. Untuk mengetahui sekiranya idea yang diluahkan itu terbaik atau tidak, ialah hasil yang diberikan itu memberikan kesan yang mendalam kepada orang lain. Yang jelasnya, idea itu adalah sesuatu yang cukup unik dan sekiranya kita diberi anugerah sebegitu, bersyukurlah dan gunakanlah ia untuk kebaikan semua.

Thursday, October 23, 2008

Kenapa nak tanya lagi?


Apa yang kau harapkan dalam hidupmu? Adakah kau pernah terfikir hidupmu akan begitu sukar seperti sekarang? Atau kau menyangkakan apabila pintu dibukakan luas untukmu, kau akan mendapat segala-galanya termasuk kehidupan yang seumpama aliran air yang tenang. Usah bermimpi kawan, bukan begitu caranya untuk hidup di alam ini. Tiada perkara sebegitu disini. Sekiranya di alam mimpi siang, anda adalah raja di atas kayangan. Tetapi disini, raja sebenar pun tidak senang duduk di atas singgahsananya. Lelaki terkaya di dunia pun akan kebulur sekiranya tiada orang yang mahu menjual gandum kepadanya.. Wanita yang tercantik juga akan keseorangan sekiranya tiada sesiapa yang ingin mengambilnya sebagai teman hidup... Bukan ingin menjatuhkan semangat anda untuk hidup, tetapi sekadar merenjis air ke muka anda supaya anda sedar bahawa kita tidak boleh hidup dengan menganggap kehidupan kita sudah ditetapkan begini. Mungkin hidup anda bermula dengan kesusahan, tetapi percayalah, Tuhan tidak menurunkan ujian yang melebihi keupayaan kita untuk menahan. Sekiranya anda mampu mengadapinya, anda sudah layak untuk berada di pentas dunia ini. Tidak kisahlah sekiranya hanya sebagai watak penyapu tepi jalan...

Monday, October 13, 2008

Mana nak sembunyi bila ia tiba?



Ketika kita tengah mengilai dan bersuka-ria, orang ramai di kedai berlari merata-rata entah ke mana. Anak kerbau mengalami sakit mata serta bukit-bukau semua menjadi rata.
Bulan berlaga dengan matahari dan bintang berjuta jatuh ke mari, bumi kita apa dah jadi, anak kau mana lagi nak lari?
Orang yang berkeluarga, orang yang sunyi... semua akan terkena dan tidak boleh bersembunyi...
Harta yang bertimbun akan menjadi tiada, anak yang berhimpun tidak lagi diriba..
Tidak usahlah berkeadaan hiba atau menangis teresak-esak... dosa dengan pahala kau, manakah yang paling banyak?
Janji Tuhan tetap akan tiba, dalam al-Quran ada nyata...
Bunyi tiupan dahsyat sangkakala, hari kemudian pasti ada.

dipetik dari lagu Sangkakala, Halim Yazid

Wednesday, October 8, 2008

Ini kisah tentang-tentang...


Ini kisah yang didengari dan dikhabarkan dari satu insan kepada insan yang lain. Kesahihan cerita ini tidak dapat dipastikan dan sumbernya tidak diketahui sehingga kini. Kisahnya bermula di suatu tempat dan waktu yang dirahsiakan untuk mengelak konfrontasi dan kekaburan fakta.  Suatu masa dahulu, terdapat sepasang sahabat yang cinta mereka terpaksa dipendam kerana satu masalah yang dihadapi oleh si perempuan. Si perempuan adalah seorang yang buta. Tapi kerana cinta si lelaki itu yang menebal terdapat si perempuan, dia ingin mengambil si perempuan itu sebagai isterinya. Tetapi kerana cinta si perempuan terhadap si lelaki yang mana dia tidak sanggup menjadi bebanan, dia terpaksa menolak lamaran itu. Kata perempuan itu, "kalau aku dapat melihat barulah aku sanggup menerima lamaranmu itu''. Pada suatu hari, si perempuan mendapat khabar gembira apabila terdapat seorang insan yang sanggup mendermakan mata kepadanya. Dengan hati yang senang dia memberitahu kepada kekasihnya, "tidak lama lagi kita boleh berkahwin kerana aku akan mampu melihat". Setelah si perempuan sembuh daripada pembedahan dan dapat melihat dengan baik, dia terus berjumpa dengan si lelaki. Tetapi apabila bertemu dengannya, si perempuan amat terkejut dan tidak menyangka bahawa si lelaki itu juga adalah seorang yang buta. Si perempuan yang tidak dapat menerima hahikat itu telah bertindak meninggalkan si lelaki sendirian. Tetapi kerana cinta lelaki itu terhadap si perempuan, dia merelakannya pergi. Dalam sayu, si lelaki berkata, "KAU JAGALAH MATAKU BAIK-BAIK YA".

Tuesday, September 16, 2008

Khabar dari Timur (episod 1)


Kita melihat dunia melalui mata. Tapi kita lupa bahawa untuk melihat dunia, kita juga memerlukan hati. Mata melihat sesuatu yang fizikal dan nyata, tetapi hati menafsirkannya kepada sesuatu yang lebih seni. Kita menyentuh tanah dan merasa tidak selesa dengannya, tapi kita lupa bahawa kita juga berasal dari benda yang sama. Kita membuka mulut, meluahkan isi hati yang telah lama terpendam tapi kita lupa bahawa mendiamkan diri itu kadang-kadang mengelakkan kita daripada berbuat dosa. Kita membantu seorang lelaki tua melintas jalanraya yang sibuk dengan harapan kita mendapat balasan yang baik dikemudian hari, tapi kita lupa bahawa Tuhan sudahpun membantu kita apabila kita membantu orang lain.