Click here to budakstudio »

Saturday, July 4, 2009

Pabila pagar makan padi...


Hari ini, satu pengajaran baru yang aku pelajari dalam hidup ini. Meskipun perkara ini telah lama wujud, begitu lama semenjak generasi anak Adam yang awal dan aku yakin dialami oleh setiap orang. Sifat ini begitu dibenci sehingga sekiranya dibiarkan berlarutan, pertumpahan darah mungkin akan berlaku. Sekiranya tidak mencapai tahap itu pun, individu yang menjadi mangsa pasti akan mengalami trauma dalam hidup mereka dan mungkin akan menyebabkan jiwa mereka terganggu dan kemurungan.
Hasad dengki....
Sifat yang paling hampir dengan fitnah, dan seperti yang kita ketahui, fitnah itu lebih dahsyat daripada membunuh. Secara kasarnya, kita tidak mampu melihat dimana logiknya perkara yang hanya menggunakan pertuturan mampu membuatkan ia lebih kejam daripada membunuh. Tetapi jika dilihat dari perspektif yang berbeza, dan pemahaman yang lebih mendalam, kita dapat melihat bahawa fitnah itu memberi kesan yang begitu halus dalam jiwa mangsa. Bila keadaan berlarutan, ia akan menular seperti virus yang tidak nampak pada zahir, tetapi jika mampu dilihat pasti kita sendiri pun akan merasa keseksaan itu.
Segala yang berlaku itu berpunca daripada salah satu sifat syaitan iaitu hasad dengki. Lebih buruk sekiranya ia berlaku didalam kelompok manusia yang mempunyai pertalian persahabatan dan sekian lama saling mempercayai satu sama lain. Perkara ini lebih senang disebut sebagai 'kawan makan kawan'. Sifat ini harus dibuang oleh setiap manusia yang inginkan keperibadian yang suci. Mungkin sifat ini sukar untuk dibendung sepenuhnya kerana setiap orang mempunyai kelemahan, tetapi sekurang-kurangnya ia harus dikawal agar tidak menjadi kebencian kepada sesama sendiri.
Kerana kebencian itulah yang membawa manusia setapak lagi ke arah kemusnahan.