Click here to budakstudio »

Sunday, December 14, 2008

Kemanakah menghilang...


Sejauh manakah cita-cita anda? Ingin menjadi seorang doktor, ahli perniagaan berjaya, jurutera atau mungkin perdana menteri? Semua kerjaya tersebut mempunyai kemahiran, perolehan dan kedudukan yang berbeza, tetapi semuanya dipandang tinggi di mata masyarakat. Sejauh manakah cita-cita aku? Hmmm... aku sendiri tidak pasti. Yang sebenarnya, cita-cita bukanlah keutamaan buat aku untuk waktu sekarang. Aku jarang memikirkan tentang masa depan, tentang apa yang aku ingin buat apabila menamatkan pengajian atau kehidupan yang bagaimana aku ingin pilih apabila terpaksa berdikari suatu hari nanti. Sebenarnya... dahulu, aku bukan seperti sekarang.
Sewaktu aku kecil dan hati masih seperti buku yang baru, aku suka memegang sebatang pensil dan melukis di atas segala jenis kertas. Ketika itu, aku tidak tahu apa yang aku lukis dan mengapa aku suka melakukannya. Sehingga munculnya hobi popular di kalangan kanak-kanak ketika itu iaitu membaca buku komik berasal dari Hong Kong yang diterjemahkan ke Bahasa Melayu. Ketika itu, aku sedar minatku untuk melukis semakin bertambah.
Daripada ilustrasi buku komik itulah, aku mendapat ilham untuk melukis dan setiap lukisan itu tidak lagi hanya lukisan kosong. Sebaliknya, ianya terhasil daripada imaginasi aku dan aku sedar ianya tiada bersempadan. Aku dapat rasakan aku mampu mengolah segalanya mengikut apa yang aku mahu, dan aku akan luahkannya di dalam lukisan. Aku mengaku lukisan aku tidaklah secantik hasil lukisan buku komik Hong Kong itu, tetapi cukuplah sekiranya aku sendiri puas hati.
Kemudian, suatu hari guru aku bertanyakan tentang cita-cita dan setiap orang harus memberitahu apakah yang ingin mereka ini jadi apabila dewasa kelak. Ketika itu aku sendiri tidak pasti, apakah cita-cita yang dimaksudkan oleh guru itu. Adakah cukup syarat cita-cita itu sekiranya aku hanya ingin menjadi seorang pelukis komik...
Tidak lama kemudian baru aku sedar, cita-cita bukanlah berdasarkan pada apa yang kita minat semata-mata, tetapi juga mampu menanggung kehidupan kita pada masa hadapan. Itulah cita-cita. Mengubah diri manusia daripada buruk kepada baik, dan daripada baik kepada lebih baik. Setelah itu, hanya satu cita-cita sahaja yang aku bermain dalam fikiran aku... iaitu ingin menjadi seorang arkitek.
Hmmm... ya, pelukis komik juga mampu membuat duit, tetapi ketika itu aku sedar aku ingin lebih daripada itu. Aku inginkan kerjaya professional yang tidak hanya membuat duit, tetapi mempunyai teknikal dan kemahiran yang tidak datang pada bakat semata, tetapi melalui pembelajaran. Dan arkitek bukan sahaja memenuhi ciri-ciri itu, malah kerjaya itu mempunyai tradisinya yang tersendiri. Ketika itulah, minat aku daripada lukisan komik beralih pula kepada lukisan berbentuk isometrik dan bergeometri seperti bangunan, kereta dan sebagainya.
Aku mulai sedar, lukisan tidak hanya boleh diluahkan dalam bentuk komik, tetapi juga dalam ruang yang lebih besar daripada kotak-kotak itu.
Selepas meningkat usia remaja, cita-cita tidak lagi menjadi persoalan di kalangan guru-guru. Ketika ini, tugas guru-guru hanya memastikan kita mengikut arah yang betul untuk menjadi warganegara yang berguna. Aku tidak lagi mendengar kata-kata semangat tentang cita-cita. Sebaliknya kata guru, kehidupan sekarang lebih daripada menjadi seorang doktor atau jurutera. Kita tidak harus bersedih sekiranya tak dapat mencapai cita-cita itu kerana peluang pekerjaan semakin pelbagai dan mungkin terdapat jalan lain yang sesuai dengan kita. Ketika itulah, tangan aku semakin banyak digunakan untuk menulis nota-nota dan kerja rumah, dan semakin jarang digunakan untuk melukis. Aku semakin melupakannya secara perlahan-lahan, lupakan kertas lukisan dan cita-cita aku sewaktu kecil. Sehinggalah tanpa aku sedari, tangan aku sudah tidak melukis lagi. Tidak untuk waktu yang cukup lama...
Sejauh manakah cita-cita anda? Ingin menjadi seorang doktor, ahli perniagaan berjaya, jurutera atau mungkin perdana menteri? Namun, cita-cita aku tidak sejauh itu, mungkin aku harus berhenti disini.

Tuesday, December 2, 2008

Ayam


Langit terang buat pertama kalinya sejak aku pulang ke kampung. Ayam-ayam dah tak melepak kat depan rumah aku, yang sejak hujan turun haiwan-haiwan tersebut selalu melepaskan sisa buangannya di tangga. Menjadi tugasan aku untuk membersihkan najis tersebut, tetapi aku tidak merungut. Mungkin menjadi sifat aku untuk merungut dalam beberapa perkara, tetapi dalam situasi ini aku boleh bersabar.
Ini kerana aku sedang kebosanan di rumah, dan melakukan perkara-perkara sedemikian akan sedikit-sebanyak memberikan senaman secara tidak langsung.
Mood aku baik hari ini, kerana komputer aku telah berjaya diformat semula dan kembali cergas seperti dahulu setelah pelbagai virus, spyware, rootkit dan pelbagai ancaman kepada komputer berjaya dilupuskan. Apa yang penting, walaupun internet masih lembap kerana line broadband di kawasan kampung agak lemah, tetapi aku masih mampu untuk melayari internet dan berhubung dengan dunia luar.

Langit terang buat pertama kalinya sejak aku pulang, tetapi fikiran aku tidak seterang langit. Mungkin aku harus berhenti disini.

Monday, December 1, 2008

"Aku sudah datang!" - kata hujan

Di saat jari aku diletakkan di atas keyboard ini, jam menunjukkan tepat pukul 10.45 pagi. Suasana di dalam bilik ini gelap dan tertutup, tetapi masih sejuk disebabkan hujan yang berterusan selama beberapa hari ini. Hujan... Ya, nampaknya angin monsun timur laut sudah datang seperti yang telah dijadualkan sejak berzaman. Rutin tahunannya tidak pernah dilupakan, walaupun terdapat gangguan alam seperti kepanasan global yang berlaku sejak beberapa dekad ini.
Tetapi di waktu pagi yang gelap ini, bukanlah berkenaan angin monsun atau hujan yang aku ingin ceritakan. Ya, bercerita tentang angin monsun mungkin menarik, tetapi bukanlah menjadi kepakaran aku untuk bercakap mengenai fenomena alam itu. Aku tidak mempunyai pengetahuan sains yang kuat, apatah lagi untuk menerangkan secara teliti berkenaan ekologi. Oleh yang demikian, lebih baik aku bercakap sahaja mengenai apa yang terjadi dalam keadaan sekeliling aku, yang aku mampu ceritakan tanpa sebarang fakta sains. Baiklah... ketika aku penuh kusyuk mengadap monitor komputer ini, pelbagai buah fikiran telah muncul di kepala aku, dan tidak ada satu pun diantaranya yang boleh aku gunakan untuk kebaikan dunia yang kita tinggal ini. Nampaknya waktu pagi bukanlah waktu yang sesuai untuk aku menggali idea, apatah lagi mencari penyelesaian masalah-masalah. Fikiran aku lebih dipenuhi dengan memori yang tidak berapa penting berkenaan apa yang aku telah lihat di televisyen iaitu filem-filem Inggeris dan bahan bacaan ringan seperti Arena Bolasepak dan juga Ujang. Mungkin ianya tidak memberikan sumber ilmiah secara langsung, tetapi sekurang-kurangnya dapat memberikan sedikit hiburan kepada aku, daripada tidak berbuat apa-apa langsung. Waktu begini tidak banyak aktiviti luar yang dapat dilakukan. Hendak berjalan ke rumah sebelah pun kena berfikir panjang kerana terpaksa mengharungi banjir kecil. Ya, itu mungkin satu alasan, dan tidak elok memberikan alasan. Tetapi alasan itu sahaja yang aku ada untuk menerangkan keadaan sebenar disini.

Nampaknya hujan tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda ianya akan berhenti. Sejuk dan suram, suasana begini memang sesuai mencari idea. Bunyi titisan air hujan yang jatuh dari tepian bumbung, nyata memberikan ketenangan. Ketenangan yang mencetuskan memori-memori silam ketika usia kanak-kanak, remaja dan waktu meningkat dewasa. Suasana ini hanya dapatku rasakan pada hujung tahun, ketika hujan angin monsun datang melabuhkan awan gelapnya. Hujan, tak menunjukkan tanda-tanda ianya akan berhenti, tetapi aku tidak mampu mengikut perangai hujan. Mungkin aku harus berhenti di sini.